Mulut Kering

Antara masalah yang sering dihadapi oleh pesakit diabetes adalah mulut kering atau xerostomia. Mereka yang mempunyai masalah xerostomia akan lebih mudah mendapat karies gigi atau gigi berlubang, mulut berbau, senang untuk mendapat ulser mulut dan mudah mendapat penyakit gusi. Sekiranya anda mempunyai gejala mulut kering, pastikan mulut anda sentiasa dalam keadaan bersih. Banyakkan minum air dan makan buah-buahan serta sayur-sayuran. Mengunyah gula-gula getah dapat merangsang pengeluaran air liur dan mengurangkan kekeringan mulut.

Walaubagaimanapun, elakkan yang mengandungi gula kerana ia boleh mengakibatkan kerosakan gigi dan meningkatkan paras gula dalam darah anda. Sekiranya anda perlu menggunakan ubat kumur, elakkan yang mengandungi alkohol kerana alkohol merengsa permukaan dalam mulut. Dan yang paling penting, kunjungi doktor dan doktor gigi untuk mendapatkan pemeriksaan, nasihat dan rawatan yang sesuai untuk keadaan anda.