• Kembali
  • Pemeriksaan Mulut Sendiri: Kunjungi Doktor Gigi Jika Anda Mengalami Tanda-tanda Berikut
part1

Penyakit gusi adalah penyakit kronik yang sukar dikesan oleh pesakit pada peringkat awal. Antara tanda awal penyakit gusi adalah gusi menjadi kemerah-merahan dan mudah berdarah semasa memberus gigi. Ini adalah tanda-tanda gingivitis atau tahap awal penyakit gusi. Sekiranya ini berlaku, gosok gigi dan gusi anda dengan teliti. Jangan berhenti menggosok atau membersihkan kawasan yang merah atau berdarah itu kerana ia akan menjadikannya lebih teruk.

Apabila gingivitis dibiarkan begitu sahaja, ia akan menjadi semakin teruk di mana tanda-tanda seperti gusi menjadi bengkak; gigi kelihatan panjang kerana gusi telah menyusut dan ruang antara gigi kelihatan besar. Tulang yang menyokong gigi akan turut menyusut menjadikan gigi bergoyang dan akhirnya pesakit boleh kehilangan gigi sekiranya dibiarkan berlarutan. Tahap ini dipanggil periodontitis.

Selain itu masalah yang paling ketara bagi mereka yang mempunyai penyakit gusi adalah halitosis atau masalah nafas berbau. Dan bagi pesakit diabetes pula, ini ditambah dengan bau mulut yang unik terutama pada pesakit diabetes yang tidak terkawal. Kedua-dua jenis bau nafas ini mengganggu kualiti hidup mereka yang menghidapnya dan orang sekeliling. Tetapi, agak sukar untuk anda mengenal pasti bahawa nafas anda berbau. Oleh itu, pastikan anda sentiasa menjaga kebersihan mulut anda. Berus gigi anda di hadapan cermin muka agar anda dapat melihat keadaan gigi dan gusi anda. Kunjungi doktor gigi sekurang-kurangnya dua kali setahun untuk pemeriksaan berkala atau dengan segera sekiranya anda ada tanda-tanda gingivitis atau periodontitis di atas.

Pemeriksaan Mulut Sendiri (Gigi dan Mukosa Mulut)

Cara-cara Melakukan Pemeriksaan Mulut Sendiri untuk Mengenal pasti Masalah Gigi Berlubang dan Lain-lain masalah dalam mulut.

Kesihatan mulut merupakan aspek yang penting dalam kehidupan. Anda digalakkan untuk sentiasa memeriksa keadaan mulut anda iaitu gusi, gigi, lidah dan mukosa mulut setiap kali memberus gigi.

Perhatikan sekiranya ada tompokan warna coklat atau kehitaman pada gigi terutamanya di permukaan mengunyah. Ini menandakan gigi tersebut mungkin telah mengalami kerosakan. Kerosakan ini boleh dikesan lebih awal oleh doktor gigi anda. Malah, sekiranya masih diperingkat awal, kerosakan gigi boleh dicegah dan gigi berlubang boleh dielakkan.

Toothdecay

Perhatikan juga sekiranya ada perubahan warna atau sifat pada mukosa mulut anda seperti permukaan tepi lidah, lelangit, gusi serta bahagian dalam pipi anda. Sekiranya ada lesi atau tompok merah atau putih atau kedua-duanya, sila dapatkan pemeriksaan doktor gigi dengan segera. Sesetengah lesi ini boleh bertukar menjadi kanser mulut. Pemeriksaan mulut oleh doktor gigi penting kerana kadang-kala sukar untuk anda untuk mengenalpasti lesi-lesi ini.

Contoh lesi putih di lelangit

Lesi putih

Contoh campuran lesi putih dan merah pada mukosa mulut

mukosa

Selain itu sekiranya ada ulser yang tidak sembuh setelah dua minggu atau ada benjolan luar biasa di dalam mulut anda, dapatkan pemeriksaan segera dari doktor gigi anda. Pemeriksaan awal dapat meningkatkan kebarangkalian untuk sembuh dan dapat mencegah dari penyakit menjadi lebih teruk.